Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie akui sanggup menolak tawaran solo demi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kumpulan Wings.
“Kami cari makan menerusi persembahan. Anggota kumpulan Wings semua ada isteri, anak dan cucu. Mereka memerlukan saya untuk cari rezeki.
“Kalau saya tiada atau sibuk dengan penggambaran, mereka nak makan apa? Jadi, saya memang berfikir panjang.
“Kalau saya pentingkan diri atau nak senang sendiri, saya sudah senang lama. Namun, saya ada sahabat yang perlu dijaga,” katanya.
Menurutnya, rasa sayangnya kepada ahli kumpulan Wings, Awie akui tidak mahu mementingkan diri sendiri.
“Bukan dalam kumpulan muzik sahaja, dalam politik atau apa juga badan organisasi, kalau kita pentingkan diri, kita hanya akan senang seketika tapi hilang sahabat atau keluarga selamanya.
“Saya tak nak perkara itu berlaku dalam Wings. Jadi, tak mengapalah kalau saya berkorban. Apa-apa tawaran solo, saya akan tolak untuk utamakan Wings.
“Saya sanggup tinggalkan tawaran solo kalau Wings dapat tawaran persembahan walaupun bayarannya mahal.
"Saya bukan nak kata saya baik tapi secara tidak langsung, Allah akan bagi rezeki lain,” tambahnya.
Sumber: Awani