Senarai Jalan Tutup Sempena Ketibaan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Pada Rabu

Terdapat lima jalan di ibu kota bakal ditutup secara berperingkat pada pagi Rabu sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Iskandar.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, laluan yang ditutup adalah Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.

"Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang juga akan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Sultan Abdul Halim," katanya. 

Semua laluan tersebut ditutup sementara dan akan dibuka semula secara berperingkat selepas selesai istiadat.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi," tambahnya.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.

Sumber: BH Online