Filem nombor 1 paling laris 2023, Polis Evo yang juga berjaya meraih kutipan panggung lebih RM51 juta, kini telah diabadikan di dalam sebuah mural di Jalan Kemuning, Dang Wangi.
Sesi pelancaran telah diadakan di lokasi mural tersebut semalam dan dihadiri oleh pelakon utama, Shaheizy Sam dan Zizan Razak bersama Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, Pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, Ketua Pegawai Eksekutif TGV Pictures & TGV Cinemas, Encik Tan Lay Han, Penerbit dan wakil Produksi BlackFlag, Joel Soh serta Pengarah Syafiq Yusof.

“Sebagai tanda terima kasih atas sokongan peminat dan penonton, pihak kami telah mengabadikan Polis Evo 3 dengan menghasilkan lukisan mural graffiti. Lukisan Polis Evo 3 ini juga menjadi filem tempatan pertama diabadikan di sebuah mural.
Selain itu, menerusi lukisan mural ini, kami cuba membawa mesej selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’ kepada masyarakat di mana kita mampu melakukan dan atasi apa sahaja rintangan dengan usaha bersama,” kata Raja Jastina Raja Arshad.

Mural setinggi 1000 kaki persegi itu telah dihasilkan oleh lakaran Abdul Rashade Studio serta mural ini juga mendapat sokongan daripada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang mengalu-alukan usaha ini dalam mempromosikan kesenian dan kebudayaan bagi memberi impak dalam menaikkan imej Bandaraya Kuala Lumpur.
