Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima sudah bermula.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), pembayaran akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Kerajaan juga telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah, berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lepas, bagi membantu sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup.
Penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas yang tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.
Namun, MOF juga turut menasihati orang ramai untuk menyemak status kelayakan STR dan mendapatkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my atau manfaat.mof.gov.my.
Kepada mereka yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan dimuktamadkan.
Sumber: Awani