Jumlah Wanita Makin Kurang, Malaysia Kini Ke Arah 'Negara Lelaki'

Malaysia semakin menjadi ‘negara lelaki’ susulan bilangan lelaki yang semakin ramai dilaporkan telah mengatasi bilangan wanita sejak beberapa dekad lalu.

jumlah wanita makin kurang, malaysia kini ke arah 'negara lelaki'

Menurut Jabatan Perangkaan, nisbah jantina penduduk negara pada 1970 ialah 102 lelaki kepada setiap 100 perempuan. Bagaimanapun, jurang itu telah melebar kepada 110 kepada setiap 100 wanita pada 2020.

Trend itu, menurut Jabatan Perangkaan, didorong oleh jumlah besar pekerja asing lelaki yang datang ke Malaysia serta kadar kelahiran lelaki yang lebih tinggi. Kemasukan besar pekerja asing sepanjang dekad yang lalu telah menyumbang sebahagian besar kepada jumlah terbabit.

Dalam pada itu, nisbah jantina bagi warganegara Malaysia dilaporkan kekal tidak berubah dari 2010 hingga 2020 kepada 103 lelaki kepada setiap 100 wanita, manakala populasi lelaki bukan warganegara pula, sebaliknya, berkembang pesat dalam tempoh sama iaitu dari 149 lelaki kepada 100 perempuan pada 2010 kepada 229 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada tahun 2020.

Menurut Pegawai Penyelidik Institut Penyelidik Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia, Chai Sen Tyng, lebihan kelahiran lelaki telah didokumenkan secara meluas dan konsisten merentasi populasi seluruh dunia, dengan 103 hingga 107 kanak-kanak lelaki dilahirkan bagi setiap 100 kanak-kanak perempuan.

“Pangkalan Data Populasi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan nisbah jantina semasa kelahiran (kelahiran lelaki bagi setiap 100 kelahiran wanita) untuk China dan India pada 2020 masing-masing adalah 111 dan 110, berbanding 106 untuk Malaysia, Brunei, Filipina dan Thailand,” katanya.

Sementara itu, Laporan Jabatan Tenaga Buruh menunjukkan bahawa kaum lelaki sebahagian besarnya mendominasi industri seperti pembinaan, pembuatan dan pertanian, terutamanya di negeri seperti Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Melaka.

 

Populasi wanita pula adalah lebih tinggi di kawasan seperti Putrajaya berikutan ramai yang bekerja sebagai penjawat awam.

“Daripada Laporan Tenaga Buruh, nisbah jantina bagi penjawat awam di Putrajaya pada 2020 ialah 61 lelaki berbanding 100 wanita,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

Sumber: [1]