Budak Lelaki Gigit Ular Tedung Sehingga Mati Di India

Seorang budak lelaki berusia lapan tahun di India telah menggigit serta membunuh seekor ular tedung selepas ular itu dipercayai melilit lengannya dan menggigit budak lelaki terbabit. 

Budak lelaki berani dikenali sebagai Deepak itu, diserang ular tedung berkenaan di perkampungan terpencil Pandarpadh di wilayah Chhattisgarh tengah India pada 31 Oktober yang lepas.

Difahamkan, Deepak ketika itu sedang bermain di luar rumahnya. Kemudian ular tersebut datang menyerang dan melilit lengan Deepak. Bukan itu sahaja, ular itu turut menggigit dan mungkin akan memberikan racun maut kepada Deepak. 

Walaupun dalam kesakitan, Deepak menggoncang lengannya dengan kuat dan memutuskan untuk menggigit ular tersebut. Dia menggigit badan ular tedung itu sebanyak 2 kali dan berjaya membunuhnya.

Deepak memberitahu The New Indian Express "Memandangkan ular itu tidak berganjak apabila saya cuba melepaskannya, saya menggigitnya kuat dua kali. Semuanya berlaku dalam sekelip mata".

Selepas kejadian, ibu bapa Deepak bergegas membawanya ke pusat perubatan berhampiran di mana dia dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian lanjut. 

Pemeriksaan ke atas kecederaan Deepak mendapati dia mengalami "gigitan kering". Ia  bermakna ular tedung itu tidak mengeluarkan sebarang racun.

"Deepak tidak menunjukkan sebarang gejala dan pulih dengan cepat kerana gigitan kering apabila ular berbisa itu menyerang tetapi tiada racun dikeluarkan," kata seorang pakar ular kepada The New Indian Express.

Sumber: The New Indian Express