Lebih Satu Pertiga Penduduk Dunia Termasuk Rakyat Malaysia Rancang Berhenti Kerja Tahun Depan

Pekerja dari serata dunia termasuk Malaysia, kini menjadi penentu dalam pasaran pekerjaan, berdasarkan laporan EY2022 Work Reimagined Survey.

lebih satu pertiga penduduk dunia termasuk rakyat malaysia rancang berhenti kerja tahun depan

Menurut laporan itu, lebih satu pertiga atau 36 peratus responden di Malaysia mengatakan mereka berkemungkinan akan berhenti kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong oleh keinginan untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi, peluang kerjaya yang lebih baik dan fleksibiliti dalam situasi inflasi yang meningkat, pasaran buruh yang mengecil dan peningkatan dalam pekerjaan yang menawarkan kerja fleksibel.

Tinjauan itu melibatkan lebih 1,500 ketua perniagaan dan lebih 17,000 pekerja di 22 negara, termasuk 50 majikan dan 250 pekerja di Malaysia. 

“Pekerja Gen Z dan milenial di Malaysia (48 peratus) adalah yang paling berkemungkinan berhenti kerja tahun ini berbanding 9 peratus dalam kategori baby boomer,” kata Low Choy Huat, Ketua dan Rakan Kongsi Khidmat Nasihat Rakyat Asean, Ernst & Young Consulting Sdn Bhd.

Dalam peralihan ke fasa endemik COVID-19, pekerjaan secara hibrid dan menangani isu gaji serta faedah lain menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan pekerja dan majikan.

“Imbangan kuasa telah beralih daripada majikan kepada pekerja. Majikan kini perlu memastikan bahawa keperluan psikologi, keselamatan, keterikatan dan peribadi pekerja mereka diberi penekanan yang cukup kerana ini bukan lagi permainan nombor.

“Selain daripada menaikkan skala gaji, syarikat kini perlu menjaga kesejahteraan pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, sama ada yang bekerja di rumah atau di pejabat,” tambah beliau.


Sumber: Astro Awani