Kajian menunjukkan 61 peratus pekerja di Malaysia merancang untuk mencari pekerjaan baru menjelang 2022 dengan pekerja berusia bawah 35 tahun antara yang paling bersedia untuk menukar pekerjaan mereka.
Kajian Employment Hero melibatkan 1,004 pekerja itu juga mendapati majoriti pekerja atau 45 peratus responden menyukai kerja mereka dan 24 peratus lagi selesa dengan tugasan mereka sekarang.
Sebagai tambahan, sebanyak empat peratus responden mengatakan mereka tidak menyukai pekerjaan mereka dan dapatan tersebut menunjukkan bahawa kerja dan tugasan bukanlah masalah sebenar yang membuatkan mereka ingin mencari kerja lain.
Punca di sebalik perkara tersebut adalah kerana kekurangan peluang untuk berkembang bersama kerjaya mereka dengan sebanyak 36 peratus responden menyatakan pendapat sedemikian.
Faktor lain pula termasuk kekurangan penghargaan (27 peratus) dan kekurangan peluang untuk menyertai latihan berhubung kerjaya mereka (26 peratus).
Turut tidak ketinggalan, faktor-faktor lain seperti tiada kenaikan gaji, masalah pengurusan, bebanan kerja yang banyak dan kekurangan fleksibiliti serta kewangan yang tidak sihat juga menyumbang kepada keputusan mereka untuk berhenti.
Bahkan, 74 peratus yang juga mewakili tiga perempat daripada semua responden menyatakan bahawa mereka pernah menerima potongan gaji akibat COVID-19 dan berhasrat untuk mencari kerja baru pada 2022.
Selain itu, ketika ditanya mengenai perkara yang boleh menjadi pendorong untuk kekal dalam pekerjaan sekarang, 45 peratus responden menginginkan kenaikan gaji dan 32 peratus mahukan banyak ganjaran serta pengiktirafan.
Sementara itu, 28 peratus responden pula mahukan kenaikan pangkat dan 28 peratus lagi impikan pengenalan struktur bonus dan 24 bonus berharap adanya pilihan kerja yang fleksibel.
Sumber: [1]