← Back to list

Kes COVID-19 Hampir Cecah 20k, Lebih 80% Daripada Jumlah Terbabit Dilaporkan Tiada Sejarah Vaksin

Aug 05, 2021


Semalam, negara mencatatkan kes tertinggi COVID-19 iaitu pada 19,819, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai agar segera mendapatkan vaksin COVID-19.

kes covid-19 hampir cecah 20k, lebih 80% daripada jumlah terbabit dilaporkan tiada sejarah vaksin

Ia berikutan, 81.79% daripada jumlah yang dilaporkan itu, difahamkan tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

“Secara keseluruhan, 1.8% peratus kes dilaporkan berada di kategori tiga hingga lima dengan 78.93% daripadanya tiada sejarah vaksinasi.

“Manakala 98.1% kes pad kategori satu dan dua dengan 81.93% tiada sejarah vaksinasi.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baharu didiagnos COVID-19 dan ada di antara mereka yang kekal di kategori sama sepanjang dijangkiti dan ada yang berubah status bertambah baik atau buruk,” jelasnya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat malam Rabu semalam.

Kategori lima menghendaki penggunaan ventilator, kategori empat bantuan oksigen, kategori tiga radang paru-paru, kategori dua mempunyai gejala ringan manakala kategori satu tiada gejala.

Sebagai tambahan, menurut Dr Noor Hisham lagi, daripada 19,819 kes baru yang dicatatkan semalam, kategori lima mencatatkan 87 kes dengan 90.8% daripada jumlah pesakit itu tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

“Kategori empat sebanyak 108 kes dengan 90.7% tiada sejarah vaksinasi, kategori tiga 180 kes (66.1% tiada sejarah vaksinasi), kategori dua 6,772 kes (71.7% tiada sejarah vaksinasi) dan kategori satu 10,001 kes (91.6% tiada sejarah vaksinasi),” lanjutnya.

 

Sumber: [1]