← Back to list

Komuniti Pemandu E-Hailing & P-Hailing Dijangka Selesai Terima Vaksin Menjelang Akhir Ogos

Jul 21, 2021


Kesemua agensi yang tergolong bawah Kementerian Pengangkutan diminta untuk mengumpulkan senarai nama pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing di negara ini bagi tujuan vaksinasi.

komuniti pemandu e-hailing & p-hailing dijangka selesai terima vaksin menjelang akhir ogos

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan barisan hadapan, komuniti ini juga perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin bagi memastikan keselamatan mereka berserta pelanggan.

“Satu perjumpaan maya telah diadakan hari ini dengan pihak pengurusan syarikat Grab bagi membincangkan progres pemberian vaksin ke atas pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing. Sekitar 100,000 pemandu e-hailing dan 50,000 penunggang p-hailing berkhidmat dengan Grab sekarang.

“Telah diumumkan, proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudah pun bermula, dengan kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau.

Lanjutnya lagi, sepanjang berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan terbukti merupakan antara perkhidmatan penting yang terus beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain turut memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

“Saya berharap dengan adanya kerjasama semua pihak, pemandu kenderaan awam di bawah jagaan Kementerian Pengangkutan akan dapat menerima vaksin mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti,” tambahnya.

 

Sumber: [1]