← Back to list

CITF Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa Isu Suntikan Vaksin Kosong

Jul 20, 2021


Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai beberapa dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial sejak akhir-akhir ini.

citf kerjasama dengan pihak berkuasa isu suntikan vaksin kosong

Kerjasama termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah bagi menjalankan siasatan tentang perkara berkenaan agar kejadian seperti itu tidak berlaku lagi.

 

Kes pertama telah berlaku pada 17 Julai 2021 di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja. Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

 

Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut.

 

Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong. Di PPV Malaysia lnternational Trade and Exhibition Centre (MITEC), kejadian didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.

 

Manakala di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.

 

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan dan sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

 

Tambah lagi, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini sekiranya didapati bersalah.

 

Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan. Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.

 

Sumber: JKJAV / Kenyataan Media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19