Isu Bendera Malaysia Salah, Polis Mula Buka Kertas Siasatan

isu bendera malaysia salah, polis mula buka kertas siasatan

 

Kecoh di media sosial apabila pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia MABA) telah memaparkan bendera Malaysia yang salah.

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen berkenaan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima itu.

Pihak polis telah menerima laporan pada jam 10.07 pagi tadi selepas pihak MABA sendiri melaporkan perkara tersebut. Hal ini disampaikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

"Untuk makluman, pihak MABA telah membuat laporan polis berkenaan kes ini. Polis Kuala Lumpur telah membuka siasatan." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan penjelasan daripada Presiden MABA, insiden tersebut terjadi di pihak kontraktor Teknologi Maklumat (IT).

"Polis akan menyiasat sama ada insiden berkenaan mempunyai motif lain, dan penganjur juga sudah mengeluarkan permohonan maaf," ujarnya.
Rentetan kejadian itu, pihak polis menasihatkan pihak penganjur untuk memeriksa terlebih dahulu agar kejadian sama tidak berulang lagi.

MABA juga telah mengeluarkan satu kenyataan maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya akan insiden tersebut.
Sebelum ini, klip video berdurasi 1 minit 42 saat telah tular dan menjadi perhatian netizen selepas paparan bendera Malaysia lima bintang ditayangkan ketika lagu Negaraku dinyanyikan dalam acara pembukaan itu.

Jadi, kita serahkan isu ini kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan selanjutnya.

 

Sumber: Astro Awani