Berhenti Bandingkan Anak Anda Dengan Anak Orang Lain- Penganalisis Jenayah

berhenti bandingkan anak anda dengan anak orang lain- penganalisis jenayah

 

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim telah menasihati para ibu bapa agar jangan membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.

 

"Hentikan budaya membanding-bandingkan anak orang dengan anak kita, sebaliknya ibu bapa perlu meyakinkan anak-anak untuk menerima diri mereka seadanya dan menghargai apa yang dilakukan".
 

"Masyarakat kita ada satu budaya yang menjadikan anak orang lain sebagai kayu pengukur kejayaan anak-anak mereka tidak kira dalam peperiksaan atau sukan, yang mana ibu bapa akan sering merasakan anak orang lain lebih baik daripada anak mereka sendiri.

"Tekanan atau desakan piawaian seperti ini akan menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka tidak diperlukan dan mereka akan berkata kalau begitu buat apa lagi mereka duduk di rumah?," kata beliau kepada Bernama.

Tindakan ibu bapa membandingkan anak mereka dengan orang lain menyebabkan anak sendiri merasakan tidak dihargai oleh orang yang paling rapat dengan mereka di rumah. Perkara tersebut menjadi faktor mereka menyampah dan marah lalu bertindak lari dari rumah.

"Inilah antara faktor menyebabkan konsep 'Rumahku Syurgaku' tidak dapat dijalankan kecuali ia hanya menjadi sekadar slogan sahaja tanpa kita memahami inti pati kedudukan perkara sebenar.

"Oleh itu, jika kita mahu anak kita berjaya dan tidak terlibat dengan jenayah seperti dadah atau masalah sosial lain, hentikan membanding-bandingkan mereka," katanya.

Kamal Affandi yang merupakan seorang penganalisis jenayah juga turut menyarankan agar ibu bapa menghargai dan terus memberi motivasi kepada anak-anak yang berkelakuan baik. Perkara tersebut dapat menaikkan lagi semangat dan membuatkan kanak-kanak lebih dihargai.


Sumber: Astro Awani