Rakyat Malaysia Terus Menuntut Keadilan Buat Zulfarhan

18 diarah untuk bela diri, seorang dibebaskan, rakyat malaysia terus menuntut keadilan buat zulfarhan

Hari ini, rakyat Malaysia kembali memberi tumpuan kepada kes perbicaraan melibatkan kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Selepas mendengar segala penghujahan daripada pihak pendakwaan, Hakim Datuk Azman telah mengarahkan 18 orang daripada 19 tertuduh untuk membela diri.

Seorang daripada tertuduh yang dikenali sebagai Mohamad Akmal Akif Alias telah dibebas dan digugurkan segala pertuduhan yang pernah disabitkan sebelum ini.

Selain itu, enam daripada mereka akan dibicarakan di bawah Seksyen 302 dn 109 Kanun Keseksaan di mana jika didapati bersalah, mereka semua boleh dihukum mati mandatori.

12 penjenayah yang lain pula akan terus dibicarakan di bawah Seksyen 330 kanun yang sama dan hukumannya penjara maksimum tujuh tahun dan denda seandainya didapati bersalah.

Kesemua penjenayah ini didakwa selepas terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM. Dikatakan kejadian itu berlaku di antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei yang lalu.

Rakyat Malaysia telah mengikuti perkembangan kes ini dari awal. Tanda pagar #JusticeForZulfarhan telah trending di Twitter semenjak pagi tadi. Turut viral adalah video ayah Zulfarhan bersujud syukur di luar kamar Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan daripada hakim.

Hakim menetapkan tarikh bicara bela diri akan bermula 2 Oktober ini. 

Oleh: Azwar Kamaruzaman