Remaja OKU Selamatkan Ibu Dari Ular Sawa Terima Anugerah Pingat Hang Tuah

 

remaja oku selamatkan ibu dari ular sawa terima anugerah pingat hang tuah

Seorang remaja OKU masalah pembelajaran, Muhammad Rasul Abdullah,16, telah membuktikan bahawa kasihnya kepada ibu tidak pernah berbelah bahagi walau apa jua keadaan.

Penghujung Mei yang lalu, Muhammad Rasul telah menyelamatkan ibunya daripada dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram di rumah mereka di Kampung Ulu Tawar.

"Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengenepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik."

Mengimbau kejadian itu, Muhammad Rasul bertindak memotong bahagian tengah ular sepanjang enam meter itu dengan bantuan adiknya, Mohd Aziz, 15, dan sepupunya, Mohd Shafizal Ismail, 15.

Ceritanya, kejadian berlau sekitar pukul 11 malam dan ketika itu mereka sedang bermain di kawasan luar rumah sebelum terdengar jeritan ibunya dari dapur. Tatkala mendengar jeritan tersebut, mereka bergegas mendapatkan ibunya dan terlihat seekor ular sawa telah membelit ibunya sehingga ke paras dada.

Melihat si ibu yang sedang bertarung nyawa, dia terus bertindak dengan menetak ular terbabit sehingga hampir putus.  Ular tersebut mati tidak lama kemudian sementara ibunya pula tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Kami fikir (ketika itu) hanya nak bagi mak lepas daripada (dibelit) ular itu sebab mak memang tidak boleh buat apa-apa waktu itu," kata Muhammad Rasul mengimbas pengalaman yang dilaluinya.


Biarpun sudah lima bulan kejadian itu berlaku, namun sehingga hari ini dia tidak dapat melukan detik tersebut. Dia juga berharap agar kejadian itu tidak akan berulang lagi di masa depan.

Kerana sifat keberaniannya, dia telah dianugerahkan pingat Hang Tuah bersempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sumber: Astro Awani