Anak Penebar Roti Canai Buktikan Kesusahan Bukan Alasan Untuk Tidak Berjaya

anak penebar roti canai buktikan kesusahan bukan alasan untuk tidak berjaya

Kejayaan ni hanya boleh diraih dengan usaha. Tak kira lah siapa pun keluarga kita, namun dengan usaha yang gigih pasti akan berjaya.

Perkara tersebut dibuktikan oleh seorang anak penebar roti canai, Siti Madihah Situah, 24. Baru-baru ini beliau telah meraih Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen University Malaysia Kelantan (UMK).

Siti Madihah telah mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam). Disebabkan itu juga, beliau juga telah menerima anugerah terbaik alumni dan falkulti.

Beliau bercerita pendorongnya untuk meraih kejayaan adalah kesusahan keluarga dan pengorbanan yang dilakukan oleh ayahnya, Situah Mokhtar,51 dan ibunya, Siti Aliza Sahar, 48.

 “Sebaik diterima masuk di UMK sesi September 2016/2017, saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ayah yang banyak berkorban bekerja sebagai penebar roti canai untuk membesarkan saya dan adik beradik lain.

“Ketika belajar, saya turut membuat beberapa pekerjaan sambilan, antaranya berniaga nasi bungkus dan air mineral di balkoni asrama, kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa sepanjang pengajian.

“Alhamdulillah, segala usaha selama ini berbaloi apabila dapat buktikan mampu capai kejayaan biarpun serba kekurangan,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen UMK Kampus Bachok.

Madihah telah menerima sijil dan pingat Pelajaran Diraja serta wang tunai bernilai RM 5,000.

Bagaimanapun, beliau merasa sedikit ralat apabila ayahnya tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

 “Ibu dan adik menumpang kereta bapa saudara dari Tanjung Karang, Selangor untuk meraikan konvokesyen pada hari ini.

“Kejayaan hari ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang banyak berkorban untuk saya,” katanya.

Sumber: Berita Harian