Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan

Kerajaan hari ini memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020.

tempoh perintah kawalan pergerakan dilanjutkan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, walaupun lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini, masih terdapat beberapa insiden kecil pelanggaran PKP.

Tindakan tegas katanya terpaksa diambil demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Tambah Tan Sri Muhyiddin, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa dan jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, beliau akan buat pengumuman mengenainya.

Sehingga jam 12 tengahari tadi, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baru pada hari ini.

Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.

Untuk itu Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit COVID-19.

Sehingga kini 34% daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66% lagi yang masih boleh menampung pesakit.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pada itu akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh pada Jumaat ini yang akan akan memberikan manfaat kepada semua.

Oleh: Syahdeen Tahir