Izinkan Isteri Untuk Bekerja Supaya Jaga Keluarga, Rupanya Petanda Lelaki Ini Hendak Pergi Selamanya

Seorang isteri tidak menyangka tindakan suaminya yang mengizinkan dia bekerja merupakan petanda bahawa ia akan pergi untuk selama-lamanya.

izinkan isteri untuk bekerja supaya jaga keluarga, rupanya petanda lelaki ini hendak pergi selamanya

Siti Khalijah Mohd Roslee, 40, berkata, jasad suaminya, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas hilang di laut akibat bot yang dinaikinya dipukul ombak dekat Kuala Kuar, pada Selasa lalu.

Mengimbas kembali, kongsi Siti Khalijah, sebelum suaminya keluar ke laut, dia sempat meluahkan hasratnya untuk bekerja kepada pasangannya itu memandangkan anak-anak mereka sudah besar dan boleh berdikari.

“Sebelum ini setiap kali saya beritahu saya mahu bekerja, dia tak izinkan, tapi kali ini dia bagi.

“Cuma dia ada kata ‘kalau nak kerja, kerja la, tapi tanggungjawab semua ayang kena tanggung la yang abang tinggal’.

“Saya tidak sangka kata-kata dia itu ada maksud sebaliknya, mungkin dia sudah dapat rasa dia akan tinggalkan saya,” katanya.

Ceritanya lagi, suaminya sebelum ini melakukan kerja kampung dan hanya mula bekerja sebagai nelayan sejak dua bulan lalu.

“Apa pun yang berlaku, saya dan anak-anak reda. Namun ketika ini saya tak mampu berfikir lagi tentang perancangan seterusnya untuk kami sekeluarga.

“Dia tempat kami bergantung, dia juga ada berjanji hendak bawa anak-anak beli baju sekolah selepas ini, nampaknya hasrat dia tidak kesampaian.”

Pasangan tersebut berkongsi empat anak yang berusia dari 7 hingga 16 tahun.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, mayat Mohd Ayod ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.7 batu nautika dari lokasi dia dipercayai jatuh.

Tambahnya, anggota Maritim menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat yang tidak berbaju kira-kira 1.10 tengahari pada Khamis.

“Jasad mangsa kemudian disahkan waris sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat,” jelasnya.


Sumber: [1]